top of page
Search

Gaya Pengurusan Konflik

  • Writer: Admin
    Admin
  • Jan 3, 2018
  • 3 min read


Manusia dan konflik saling berkait kerana konflik merupakan suatu sifat semulajadi yang berkembang secara dinamik seiring dengan perkembangan manusia. Hal ini selari dengan pandangan Deutsch (1990) yang menyatakan, konflik timbul akibat ketidaksetujuan dan ketidaksesuaian tingkah laku. Hal ini disebabkan pertentangan dan tiada persetujuan antara kedua-kedua belah pihak atau lebih. Dengan kata lain, konflik berlaku akibat daripada perbezaan matlamat, nilai dan persepsi sehingga memberikan kesan negatif. Dalam percakapan, konflik dijangkakan berlaku. Konflik berpunca daripada keupayaan kognitif yang berbeza-beza dalam kalangan individu yang terlibat. Perbezaan yang berlaku disebabkan oleh latar belakang yang berlainan dari segi sosiobudaya, pendidikan, kepercayaan (termasuk kepercayaan keagamaan), ideologi dan sebagainya yang mempengaruhi cara seseorang itu berfikir sekali gus menjadi faktor utama termeterainya sesuatu keputusan. Salah faham mungkin timbul akibat daripada perbezaan tersebut namun suasana perundingan tetap harmoni jika faktor sosiolinguistik dan pragmatik dapat diterapkan. Faktor sosiolinguistik yang wujud dalam perundingan melibatkan sikap hormat-menghormati, termasuklah tutur kata yang sopan dan menjaga air muka seseorang ketika dalam perundingan.



Griffin (2012:407-420) telah merujuk gaya pengurusan konflik Ting-Toomey yang mengkategorikan lima jenis gaya pengurusan konflik. Teori tersebut membandingkan budaya konteks tinggi dan budaya konteks rendah, iaitu gaya mengelak, obligasi, kompromi, dominasi dan integrasi.


Gaya mengelak merujuk kepada individu yang membuat keputusan untuk tidak membincangkan secara terbuka mengenai perbezaan pendapat yang wujud dalam kumpulannya. Ia bertujuan untuk menghindari pergeseran dan salah faham dalam perhubungan. Pada asasnya, individu yang berhadapan dengan konflik tersebut akan bertindak pasif dan cuba mengabaikan perhatian terhadap isu yang timbul dengan membiarkan sahaja masalah yang berlaku. Pemilihan gaya ini mungkin atas pertimbangan bahawa isu yang mencetuskan konflik itu bersifat remeh atau kecil dan tidak memberikan kerosakan besar kepada mana-mana pihak. Gaya mengelak adalah gaya yang ketara dalam budaya konteks tinggi kerana lebih mementingkan kumpulan (orang lain) berbanding individu.


Gaya obligasi memperlihatkan individu yang mempunyai konflik dalam kumpulan berusaha mengikut keputusan orang lain. Keadaan ini merupakan satu sikap dan kelakuan individu, yang memilih untuk lebih prihatin terhadap air muka orang lain berbanding air mukanya sendiri. Gaya pengurusan obligasi adalah gaya yang ketara dalam budaya konteks tinggi, iaitu orang Timur yang sangat mementingkan perasaan orang lain berbanding perasaan sendiri.



Gaya kompromi mengetengahkan konsep tolak ansur dalam menyelesaikan konflik supaya masalah yang berlaku tidak berpanjangan dan keputusan dapat dibuat. Pada asasnya, gaya pengurusan konflik ini merupakan pendekatan tradisional yang kerap digunakan untuk menyelesaikan isu kompleks dan kritikal dalam kumpulan. Gaya kompromi ketara digunakan dalam budaya konteks tinggi. Dalam konteks kajian, pemilihan gaya kompromi dapat menjaga ‘air muka’ kedua-dua pihak yang berkonflik. Dalam hal ini, sifat hormat menghormati dan berkerjasama dijadikan amalan dengan hasrat untuk mengekalkan keharmonian kumpulan.


Gaya dominasi memperlihatkan individu yang terlibat dengan konflik tetap dengan keputusan yang dibuat dan tidak berganjak daripada keputusannya. Mereka mempunyai karekter yang tegas, kental, berani dan tidak mudah mengalah demi mencapai matlamat. Ini bermakna, individu tersebut lebih mengutamakan ‘air muka’nya sendiri berbanding orang lain. Gaya pengurusan dominasi sering digunakan dalam budaya konteks rendah. Ini mungkin disebabkan budaya konteks rendah dibentuk berasaskan keperluan dan matlamat individu. Oleh itu, individu tersebut mengutamakan dirinya dalam kebanyakan perkara berbanding orang lain.


Gaya integrasi dipilih dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku antara kedua-dua pihak yang berkonflik. Pihak yang memilih gaya tersebut akan mengumpul pelbagai pendapat dan maklumat daripada orang lain serta mengenal pasti perbezaan dalam mencapai kesepakatan. Dalam hubungan ini, sikap keterbukaan untuk menyelesaikan masalah merupakan asas penting yang dapat membawa kepada perdamaian. Gaya integrasi biasanya digunakan dalam budaya konteks rendah bagi mencapai persetujuan dan persefahaman dalam kalangan anggota masyarakatnya. Bagi budaya konteks tinggi pula, gaya integrasi dilihat sebagai suatu kaedah penyelesaian yang sangat berkesan dan terbaik. Ini kerana adanya perbincangan bersama dan keputusan dibuat setelah mengambil kira pendapat daripada pelbagai pihak. Dalam konteks kajian, orang Melayu sering mengamalkan muafakat dalam apa jua perkara supaya keputusan yang dicapai memberi manfaat kepada semua pihak.




 
 
 

Comments


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

myKAUNSELING

  • 2227
bottom of page