Pemimpin dan Kepimpinan
- Admin
- Dec 11, 2017
- 3 min read

Ciri-Ciri Pemimpin yang Baik
1. Mereka Membuat Orang Lain Menjadi Lebih Baik
2. Memiliki Kecerdasan Emosional
3. Fokus Pada Penyelesaian Masalah Bukan Masalah
4. Tidak Berhenti Untuk Belajar
5. Lebih Banyak Mendengarkan Daripada Berbicara
6. Berkomunikasi Secara Efektif
7. Berani Mengakui Kesalahan & Minta Maaf
8. Berani Mengambil Peluang
9. Berani Mengambil RisikO
10. Mampu Berkomunikasi dengan baik
11. Disayangi dan menyayangi kelompoknya
12. Rela Berkorban
“Seorang pemimpin adalah
orang yang melihat lebih dari yang orang lain lihat, yang melihat lebih jauh daripada yang orang lain lihat dan yang melihat sebelum orang lain melihat.” – Leroy Eimes, penulis dan pakar kepemimpinan
Pemimpin yang Disegani dan Disayangi
PARA pemimpin adalah individu yang menentukan kejayaan dan kemunduran sesebuah negara. Islam amat prihatin terhadap pelantikan pemimpin dan corak kepemimpinan. Apabila negara mengamalkan sistem demokrasi maka rakyat mempunyai hak dan peluang untuk memilih pemimpin yang akan menerajui negara. Negara yang mengamalkan sistem demokrasi sentiasa berubah dan bertukar pemimpin dan parti politik.
Kekuatan kepemimpinan dan parti politik dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi bergantung kepada kegigihan dan ketekunan mereka membangunkan negara dan menyediakan pelbagai keperluan asas kepada rakyat. Ini adalah kunci kejayaan parti politik dan kepemimpinan dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Kepetahan berpidato bukan aspek terpenting untuk menarik perhatian rakyat memilih parti politik. Itu hanyalah salah satu cara atau alat untuk meyakinkan orang ramai bahawa kepimpinan parti politik yang diterajui mereka adalah yang paling ideal dan penyelamat masyarakat. Tidak dinafikan bahawa kehebatan berpidato boleh menggerakkan hati rakyat untuk memilih seseorang pemimpin tetapi cara ini amat sesuai dalam zaman yang mana sistem komunikasi dan maklumat masih lagi mundur dan majoriti rakyat tidak mendapat pendidikan yang sempurna dan tinggi.
Negara membangun dan maju yang dihuni oleh majoriti penduduk berpendidikan dan sistem komunikasi maklumat yang canggih maka kekuatan pemimpin dan parti politik adalah bergantung kepada kegigihan dan ketekunan mereka melaksanakan tugas sebagai pemegang amanah rakyat dan membuktikan kejayaan melalui pelaksanaan dasar dan polisi yang boleh memberi keuntungan kepada negara.
Pemimpin dan parti politik akan disanjung dan dihormati jika mereka berjaya mengatasi permasalahan negara. Kehebatan pemimpin bukan berdasarkan kepada kemewahan dan kekayaan yang dimiliki mereka. Keperibadian yang sederhana dan sikap prihatin tanpa mengira kaum dan agama adalah ciri-ciri pemimpin dalam Islam. Jika perkara ini dijadikan sebagai prinsip kepimpinan pemimpin dan parti politik maka mereka akan menerajui negara dalam tempoh yang lama.
Para pemimpin beragama Islam sepatutnya gigih melaksanakan dan mengendalikan urusan rakyat kerana tugas tersebut adalah ibadah yang paling mulia di sisi Allah. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang berlaku adil akan berada di atas panggung cahaya di sebelah kanan Allah Azza Wa Jalla, kedua-dua sisi itu baik keadaan dan kedudukannya, iaitu orang yang berlaku adil dalam hukum, adil pada keluarga dan adil dalam tugas yang dikuasakan kepada mereka”.
Islam menentang kronisme dan pilih kasih dalam kepimpinan dan pentadbiran kerana sikap itu boleh menghapuskan keadilan dan menafikan kepakaran individu yang berhak dan layak melaksanakan tugas negara. Jika sikap tersebut menjadi amalan dalam kepimpinan negara maka sistem pemerintahan dan pentadbiran menjadi semakin lemah lantaran individu yang dilantik memimpin dan mentadbir negara adalah orang yang tidak mempunyai kelayakan dan kepakaran.
Sikap meminta jawatan dan amat mengharapkan diri dilantik menjadi pemimpin dan pentadbir adalah fenomena dalam arena politik negara Islam. Pelbagai cara dilakukan untuk mempengaruhi pucuk pimpinan parti atau negara supaya melantik mereka menjadi pemimpin walaupun tidak berkelayakan. Jika perkara ini menjadi lumrah dalam pemilihan pemimpin maka negara akan menghadapi pelbagai permasalahan yang boleh melemahkan sistem kepimpinan dan pentadbiran negara.
Rasulullah SAW dengan tegas bersabda: “Demi Allah, aku tidak akan mengangkat seseorang untuk memangku pekerjaan ini (jawatan) kepada seseorang yang memintanya dan tidak pula kepada orang yang mengharapkannya”.
Tugas pemimpin adalah berat kerana hal itu berkaitan kepentingan rakyat, negara dan agama. Setiap pemimpin yang dilantik akan dipersoalkan oleh Allah tentang tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Sabda Rasulullah SAW: “Tidak seorang pun Amir (pemimpin) yang menguasai atau memerintah kaum Muslimin, tetapi dia tidak berjuang dengan sungguh-sungguh dan tidak memberikan pengarahan untuk kemakmuran (kecukupan/keperluan) mereka, nescaya Allah tidak membolehkannya bersama-sama mereka ke syurga”.
Jika umat Islam memahami bahawa tugas memimpin adalah berat dan akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat maka tidak akan berlaku perebutan kuasa dan penipuan dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin. Pemimpin yang disegani dan dihormati ialah yang dipilih secara telus dan ikhlas daripada rakyat berdasarkan kepada kebolehan, kepakaran dan kegigihannya. Umat Islam sepatutnya berhati-hati dalam pemilihan pemimpin negara supaya kuasa yang diberikan kepada mereka tidak memberi kesan negatif terhadap agama, bangsa dan negara.
Rasulullah SAW memperingati perkara ini dalam sabdanya: “Sepeninggalanku nanti akan ada pembesar-pembesar negara yang mementingkan diri sendiri dan bertindak dengan tindakan yang tidak kamu sukai”.
Berdasarkan kepada penjelasan tersebut maka setiap pemimpin negara dan ahli politik Islam sepatutnya berusaha menunjukkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang supaya rakyat memilih mereka secara telus dan ikhlas. Sumbangan dan perkhidmatan mereka akan dihormati rakyat dan mereka juga mendapat ganjaran daripada Allah. Oleh itu, perbetulkan niat dan objektif dalam arena politik dan kepimpinan negara.
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Sumber : Utusan ONLINE
Comments